Sunday, May 4, 2014

KEMBALI MENULIS

Blog ini aku buka pada September 2009. Atau lebih tepat lagi, 28 September 2009. Tiada tujuan yang jelas mengapa dan kenapa aku buka akaun blogger.com. Ingin jadi blogger atau sekadar suka-suka? Berkongsi rasa, perasaan, idea, lontar kritikan, jalin hubungan, mungkin itu menjadi sebab kenapa akaun ini dibuka. 

Tujuan yang sama juga aku kembali menulis. Berkongsi rasa, idea, pengalaman, pendapat dan juga kritikan terhadap dunia, sekeliling dan juga terhadap diri sendiri. Cuma, aku 'hide' entry lama dan kembali dengan hasil tulisan baru yang lebih segar harapnya kerana aku beranggapan entry-entry lama aku (sebanyak 100 entry semuanya) aku tulis pada waktu yang aku kira belum matang. Lebih banyak dipengaruhi emosi terhadap sesuatu perkara. 



Aku ingin berubah.

Masa kian bertambah, usia makin meningkat. Semestinya pola berfikir juga berbeza. Berbeza dimensi, rasa dan juga warna. Semuanya datang daripada nilaian pengalaman. Pengalaman mengubah pemikiran seseorang yang mungkin dulu agak jumud, sempit dan rigid kepada satu sisi pandang yang lebih terbuka dan berlapang dada. Dan aku inginkan suatu perubahan pada diri aku sendiri. Perubahan yang lebih positif dan berani. Tidak mengikut dogma orang lain, berdiri atas pendirian sendiri. 

Jika para imam yang agung seperti Imam Syafie berubah pandangan serta pendapat setelah melalui pelbagai kembara dan pengalaman, insan yang kerdil seperti aku juga terdedah kepada perubahan. Kesan dan pengaruh pengalaman memberi warna yang pelbagai dalam kehidupan. 



Aku anak muda

Blog ini masih mengekalkan 'kempen' yang sama; Jalinkan Ukhwah, Suburkan Mahabbah. Mantapkan Tarbiah, Jelaskan Fikrah. Yang aku tukar adalah 'title' blog ini daripada 'Bingkisan Hati Seorang Remaja' kepada 'Bingkisan Hati Seorang Anak Muda'. Usia remaja sudah berlalu. Sekarang aku sedang melalui fasa awal dewasa. Dalam zon anak muda. Anak muda sifatnya berani, lantang, memberontak, keras kepala, degil, hati batu, terdedah kepada kesilapan. Itu lah yang aku harapkan ada dalam diri aku. Ianya bukanlah satu sifat negatif. Berani, lantang, memberontak, keras kepala, semua itu bukannya sifat negatif yang perlu disekat dan dihalang. Sekat dan halang jiwa anak muda akan menghasilkan keburukan. Impaknya lebih buruk cuma kita seharusnya lorongkan sifat-sifat anak muda tadi kearah yang positif. Anak muda sememangnya terdedah melakukan kesalahan. Itulah anak muda. Itulah pengalaman. Itulah yang mematangkan. Yang salah perbetulkan.



Tidaklah banyak pengalaman aku yang hendakku kongsikan, tiadalah seberapa kritis idea yang ingin ku lontarkan.Tiadalah jauh perjalanan aku sepanjang kehidupan. Namun, kembara hidup yang singkat ini ingin sekali ku abadikan menjadi pedoman. Sebarang kesalahan harap diberi teguran. Aku bukan malaikat, bukan nabi. Aku terdedah kepada kesilapan. Itu tidaklah menggusarkan aku kerana syurga dan neraka itu sememangnya dicipta untuk orang yang melakukan dosa dan kesilapan. Ya! Bezanya, neraka untuk mereka yang dosa dan terus menerus melakukan kesilapan. Syurga pula untuk mereka yang melakukan dosa dan kemudian kembali bertaubat kepadaNya. Wallahu a'lam.